Program e-Melaka

Program e-Melaka adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri Melaka dalam matlamat untuk memperluaskan penggunaan ICT kepada rakyat Negeri Melaka bagi menjadikan masyarakat Melaka ‘celik IT’ iaitu mempunyai pengetahuan di dalam bidang teknologi maklumat ke arah menuju era globalisasi.

Program ini juga merupakan satu program untuk mendidik dan membimbing rakyat Negeri Melaka menggunakan dan mengaplikasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara menyeluruh dalam kehidupan harian mereka. Sektor K-Ekonomi, Bahagian Teknologi Maklumat & Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri Melaka telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program ini agar misi dan objektif program ini dapat dicapai.

Sejak tahun 2003, Program e-Melaka telah diperkenalkan di bawah 12 Flagship yang menjadi rujukan utama di dalam membangunkan pelbagai inisiatif ICT. Aktiviti-aktiviti terdiri daripada peringkat-peringkat seperti perancangan, pembangunan, pemantauan serta penambahbaikan yang berterusan dari masa ke semasa.

Di bawah setiap Flagship, selain daripada menggariskan program latihan, terdapat juga projek-projek utama yang menyumbang kepada Sektor K-Ekonomi.

Visi

  • Ke arah mewujudkan rakyat celik IT dan bermaklumat selaras dengan keperluan dan perkembangan teknologi.

Misi

  • Mendidik dan membimbing rakyat Melaka supaya dapat menggunakan semua kemudahan ICT di Negeri Melaka.
  • Memperluaskan penggunaan ICT kepada rakyat Negeri Melaka sebagai pemangkin K-Ekonomi (ekonomi berasaskan pengetahuan).
  • Memperluas pengetahuan ICT di kawasan luar bandar dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Melaka.
  • Mengurangkan jurang pengetahuan antara luar bandar dengan penduduk bandar.
  • Pelaksanaan tindakan selaras dengan agenda nasional ke arah mencapai Wawasan 2020 dan ke arah Melaka Maju 2010.